expr:dir='data:blog.languageDirection' xmlns='http://www.w3.org/1999/xhtml' xmlns:b='http://www.google.com/2005/gml/b' xmlns:data='http://www.google.com/2005/gml/data' xmlns:expr='http://www.google.com/2005/gml/expr'> DEDAWAI BERISI: Pengumpul Hadis-Hadis Hukum

Wednesday, October 21, 2009

Pengumpul Hadis-Hadis Hukum


Dalam senarai enam tokoh ulama hadis terbilang (kutub al-hadith al-sittah), nama yang diletakkan pada kedudukan yang ketiga ialah Imam Abu Daud al-Sajastani.

Nama sebenar Imam Abu Daud ialah Sulaiman bin al-Asya'ath bin Ishak bin Basyir bin Syadad bin Yahya bin Imran Imran Abu Daud al-Sajastani. Beliau dilahirkan kira-kira pada tahun 816 M di wilayah Sajastan, Afganistan. Gelaran Abu Daud diambil sempena nama moyangnya Abu Daud al-Sajastani. Imam Abu Daud memiliki akhlak yang sangat baik. Beliau seorang ahli ibadah dan sangat menjauhi perkara-perkara syubhah. Beliau juga seorang yang pemalu. Namun dalam hal menyatakan kebenaran atau berurusab mengenai ilmu pengetahuan, keterampilannya cukup menyerlah sekali.

Beliau amat mencinta ilmu sejak dari kecil lagi, justeru kecintaan kepada ilmu, Imam Abu Daud mengembara ke pelosok tanah jajahan Islam untuk berjumpa dengan guru-guru dan alim ulama yang terkenal pada waktu itu. Memang tabiat sejak dari kecil, beliau sangat suka duduk bersama ahli ilmu, mengikuti majlis pengajian mereka dan bertanya apa-apa yang kurang difahaminya.

Dalam siri pengembaraanya menuntut ilmu, Imam Abu Daud sangat berusaha gigih menambah pengetahuan dan kefahamannya dalam pelbagai ilmu. Namun begitu, tumpuannya lebih kepada ilmu hadis Nabi Muhammad SAW. Beliau belajar hadis dari sekian ramai ulama yang ditemuinya sama ada di Hijaz, Syam, Mesir, Iraq, Jazirah, Sagar, Khurasan dan negeri-negeri lain. Di kalangan guru-guru Imam Abu Daud, beberapa orang daripada mereka pernah menjadi guru kepada Imam Bukhari dan Imam Muslim, seperti Ahmad bin Hanbal, Usman bin Abi Syaibah dan Qutaibah bin Sa'id.

Setelah dada melimpah dengan lautan ilmu masa berbakinya ditumpahkan pula ilmunya kepada orang lain. Tatkala itu orang yang dahaga dan cintakan ilmu mulai berdatangan. Tidak putus-putus, bahkan semakin bertambah, meminta restu dan eberkatan untuk berguru. Tidak dapat dihitung berapa ramai anak muridnya, antara yang masyhur serta menjadi kebanggaan umat seperti Abu Isa al-Tirmizi (Imam al-Tirmizi) dan Abu Abdul Rahman al-Nasa'i (Imam al-Nasa'i). Malah sebagai satu kehebatan juga bilamana Imam Ahmad bin Hanbal pernah meriwayatkan sebuah hadis yang diterima daripadanya.

Memang menjadi satu kelaziman dan keistimewaan kepada ulama dimana mereka dianugerahkan kebolehan mengarang kitab. Sebagai contoh salah satu karangan Imam Abu Daud yang hebat ialah al-Sunan. Buah tangan dari Imam Abu Daud ini begitu hebat sehinggakan mendapat pujian dari gurunya Imam Ahmad bin Hanbal dengan menyatakan ia sebuah kitab yang baik dan indah.

Imam Abu Daud sendiri memberikan komentar mengenai kitab hadisnya dengan berkata" Aku telah menulis daripada Rasullullah SAW 500,000 buah hadis. Kemudian aku pilih 4,800 daripadanya dan aku muatkannya di dalam kitab ini dan aku kumpulkan segala yang sahih, yang hampir sahih dan yang sepertinya."

Pengumpulan hadis yang dilakukan oleh Imam Abu Daud lebih tertumpu kepada hadis hukum, iaitu hadis-hadis yang mengandungi hukum fiqh yang sesuai digunakan dalam bidang perundangan Islam. Tidak hairanlah semasa mengajar hadis dan fiqah kepada penduduk Baghdad, Imam Abu Daud tidak ragu-ragu menggunakan kitab karangannya sebagai rujukan

Namun atas permintaan pihak pemerintah, Imam Abu Daud kemudiannya menetap di Basrah. Gabenor menghendaki Basrah menjadi kiblat bagi para ilmuwan dan peminat hadis. Dengan adanya ulama besar seperti Imam Abu Daud di Basrah, sudah tentu orang ramai tidak putus-putus berkunjung ke sana untuk menadah ilmu daripadanya.

Sunan Abu Daud juga mendapat pengiktirafan daripada beberapa orang alim ternama. Antaranya Imam al-Ghazali yang memberikan pendapat, "Ia (al-Sunan) memadai kepada mana-mana mujtahid untuk mengetahui hadis-hadis ahkam." kata Sheikh Ibrahim al-Harbi pula,"Hadis telah dilembutkan bagi Abu Daud sebagaimana logam besi dilembutkan bagi Nabi Daud." Nyata ungkapan yang diberikan ini adalah kata-kata simbolik atau perumpamaan dan keunggulan seseorang dalam bidang penyusunan hadis. Imam Abu Daud telah mempermudahkan yang sulit, rumit dan pelik serta memperjelaskan yang samar dan meragukan.

Selain al-Sunan, kitab-kitab karangan Imam Abu Daud yang masyhur ialah
(a) al-Marasil
(b) al-Qadar
(c) al-Nasaikh wa al-Mansukh
(d) Fada'il al A'mal
(e) Al-Zuhd
(f) Dala'il al-Nubuwah
(g) Ibtida' al-Wahy
(h) Akhbar al-Khawarij

Setelah menempuh kehidupan selama 73 tahun, beliau kembali menemui Allah SWT pada tahun 889 M di Basrah, jauh dari daerah kelahirannya Sajastan, Afganistan. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan kemuliaan oleh Allah SWT serta memberi ganjaran berganda atas segala jasa dan kebaikan yang dilakukannya.

Sumber:
Majalah Solusi, Isu #12.

0 comments:

 

DEDAWAI BERISI Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template--