Thursday, September 24, 2009

Intipati kedua ceramah Ustaz Jamnul Azhar


Al-Quran : Sumber Tamadun Manusia



Alhamdulillah kita telah selesai menjalani ibadah puasa seterusnya dapat menyambut AidilFitri dalam keadaan aman dan tenteram. Saya berdoa kepada Tuhan sekalian alam agar puasa kita diterima dan kita dapat bertemu dengan Ramadhan pada tahun hadapan.

Antara pengalaman yang menarik semasa saya pulang berhari raya di kampung (saya baru berada di Kuala Kangsar pada hari ini) ialah pesta bermain mercun. Bunyi dentuman aplikasi tindak balas kimia daripada logam-logam kumpulan 1 dalam Jadual Berkala kadang-kadang menyakitkan hati saya. Tambahan pula teringat akan kesengsaraan rakan-rakan kita di bumi Palestin, Mindanao, Selatan Thailand dan banyak lagi. Budaya bermain mercun bukanlah ajaran Islam dan seharusnya ditinggalkan oleh individu yang mengaku dirinya seorang muslim.

Dalam catatan saya pada 17 September 2009, saya membicarakan intipati pertama ceramah Ustaz Jamnul Azhar berkaitan denga Nuzul Al-Quran. Dalam catatan yang pada hari ini saya akan cuba mengulas catitan ringkas saya dalam buku kecil semasa ceramah tersebut iaitu berkenaan dengan Al-Quran:Sumber Tamadun Manusia, intipati kedua ceramah al-fadhil Ustaz


PENGENALAN

Kitab suci al-Quran merupakan kitab samawi yang terakhir diturunkan oleh Allah SWT kepada manusia selepas kitab Taurat, Zabur dan Injil. Kitab ini diturunkan kepada rasul terakhir iaitu Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibril AS selama lebih kurang 23 tahun. Al-Quran adalah merupakan wahyu darpada Allah SWT yang diturukan sebagai petunjuk kepada manusia sekalian alam. Ini adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan sesungguhnya al-Quran ini benar-benar diturunkan oleh tuhan semesta alam."(Asy-Syu'araa':192). Namun begitu terdapat juga golongan orientalis (sarjana Barat) yang telah melemparkan tuduhan tidak berasas terhadap al-Quran. Mereka mengatakan al-Quran adalah rekaan manusia. Antaranya H.A.R Gibb yang mengemukakan pendapat bahawa Nabi Muhammad SAW ingin menguasai kepimpinan di Kota Mekah. Di saat itu, agama memainkan peranan yan penting dalam perkembangan ekonomi Mekah, lantas Nabi Muhammad SAW mempergunakan penagruh agama untuk tujuan tersebut dengan mencipta sebuah agama yang diberi nama Islam. Beliau menyatakan isi kandungan al-Quran itu telah terdapat dalam ajaran agama Nasrani dan Yahudi.
Tuduhan yang dilemparkan ini adalah tidak benar sama sekali dan menggambarkan kejahilan mereka dalam ilmu. Tujuan sebenarnya adalah untuk menghina dan menjatuhkan martabat agama Islam yang mulia. Ini jelas bertentangan dengan fakta sejarah yang mengatakan Nabi Muhammad SAW adalah seorang yang tidak tahu menils dan membaca juga fakta yang mengatakan Nabi Muhammad SAW pernah ditawarkan dengan pangkat, harta dan wanita denga tujuan meninggalkan ajaran Islam. Tawaran ini ditolak oleh Nabi Muhammad SAW dengan ungkapan berikut:"Sekiranya matahari diletakkan di tangan kananku, bulan diletakkan di tangan kiriku untuk aku tinggalkan usaha ini (berdakwah), nescaya aku tidak akan meninggalkannya."

SIFAT ASLI DAN KEKAL SEPANJANG ZAMAN

Antara kehebatan al-Quran yang membuktikan kemukjizatannya ialah ia masih bersifat asli sehingga hari ini walaupun telah berusia lebih 1400 tahun. Ini adalah berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud:"Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran dan Kamilah yang menjaganya."(Al-Hijr:9). Berdasarka ayat tersebut, Allah SWT telah memberi jaminan untuk mmelihara al-Quran dari segi ketulenannya sejak ia diturunkan hingga ke hari akhirat. Pemeliharaan al-Quran telah bermula sejak ia ditunkan oleh Jibril kepada Nabi Muhammad SAW dari Luh Mahfuz. Setelah itu Nabi Muhammad SAW menyampaikan pula kepada para sahabat dan mereka terus menghafalnya. Al-Quran juga dirakamkan dalam bentuk tulisan sama ada di atas daun, kulit kayu, batu dan tulang binatang. Kewafatan Rasulullah SAW mewujudkan golongan murtad yang berakhir dengan peperangan untuk menghapuskan mereka pada zaman Abu Bakar as-Siddiq RA. Lebih 70 para sahabat penghafaz al-Quran gugur syahid dalam peperangan itu. Peristiwa ini menimbulkn kebimbangan para sahabat tentang keselamatan al-Quran yang mungkin hilang bersama dengan kematian para sahabat. Selepas berbincang dengan para sahabat, khalifah Abu Bakar as-Siddiq RA mengeluarkan arahan supaya pengumpulan al-Quran dilakukan. Pemeliharaan al-Quran pada zaman khalifah Islam yang ketiga Khalifah Uthman bin Affan RA pula menjadi penting kerana berlakunya penerokaan wilayah-wilayah yang baru. Berlaku percanggahan pendapat dalam pembacaan al-Quran kerana ketiadaan naskah al-Quran di tangan mereka. Pembukuan al-Quran pada zaman khalifah Uthman bin Affan RA merupakan puncak proses penulisan al-Quran. Ia juga bertujuan untuk menyeragamkan ejaan dan tulisan al-Quran. Keseragaman dari segi surah dan ejaan melahirkan keseragaman dalam bacaan.

KITAB MUKJIZAT

Al-Quran merupakan kitab suci samawi yang mengandungi nilai mukjizat yng tinggi sama ada dari sudut akidah, syariat, akhlak, bahasa, sejarah, rahsia alam, intelektual dan sebagainya. Kitab al-Quran sesuai digunakan sepanjang masa. Menurut pendapat Abd al-Qadir 'Audah (ulama tabiin), syariat Islam yang terkandung dalam al-Quran bukanlah ciptaan manusia dan bukan kesan daripada perkembangan ilmu manusia sebagaimana yang berlaku ke atas perundangan ciptaan manusia. Syariat merupakan ciptaan Allah SWT yang bermatlamat untuk menyusun masyarakat supaya menjadi contoh yang baik dalam semua aspek ketamadunan manusia. Kemukjizatan al-Quran boleh dijelaskan dalam tiga aspek iaitu:

1. Mukjizat pada bahasa

Bahasa yang terdapat dalam al-Quran adalah sangat unik dan indah. Ia hanya kan dapat difahami dan dihayati oleh mereka yang pakar dalam bidang kesusasteraan bahasa Arab. Bangsa Arab amat mengkagumi dan mengangkat tinggi kedudukan mereka yang pakar dalam bidang kesusasteraan. Selepas turunnya al-Quran tiada seorang pun manusia yang dapat dan mampu menandingi keindahan bahasa dalam al-Quran.

2. Mukjizat yang menyentuh tabiat semulajaai alam.

Seperti mana dalam catatan saya sebelum ini dalam label sains dan Islam, pelbagai kajian dilakukan oleh para saintis untuk mengetahui dan mendapatkan rahsia yang terkandung dalam alam semesta ini.


Dalam a-Quran terdapat ayat-ayat yang membicarakan penciptaan langit dan bumi, kejadian manusia dan alam. Penemuan saintis dewasa ini terhadap rahsia alam selaras dengan apa yang tercatat dalam al-Quran. Sebagai contoh penemuan yang mengatakan bahawa semua cakerawala bergerak terapung-apung di udara. Fakta ini telah disebut dalam al-Quran pada surah Yaasin ayat 40 yang bermaksud:(Dengan ketentuan yang demikian), matahari tidak mudah baginya mengejar bulan dan malam pula tidak dapat mendahului siang, kerana tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edarannya masing-masing.". Begitu juga dengan penemuan saintis yang mengatakan semakin tinggi kita berada di udara semakin sukat untuk kita bernafas. Fakta ini juga telah disebut dalam al-Quran yang bermaksud."Maka sesiapa yang Allah SWT kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya ia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam, dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya Allah menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah ia sedang mendaki ke langit (dengan susah payahnya). Demikian Allah menimpakan azab kepada orang yang tidak beriman."(Al-An'aam:125)

3. Mukjizat dalam Perundangan

Salah satu tujuan al-Quran diturunkan adalah sebagai panduan kepada manusia dalam mengharungi kehidupan. Justeru Allah SWT menurunkan kepada kita pelbagai peraturan yang mesti diikuti. Peraturan ini meliputi dalam berbagai aspek sama ada politik, ekonomi dan sosial.

KEISTIMEWAAN AL-QURAN

Sebagai sebuah kitab yang agung dan mulia sudah tentu al-Quran mempunyai kelebihannya tersendiri yang menjadi pemangkin ke arah kejayaan hidup di dunia dan di akhirat. Di antara keistimewaan itu ialah:

1. Memberi Kesejahteraan Hidup

Rasullullah SAW telah diutuskan untuk mengajarkan manusia ke arah mengabdikan diri kepada Allah SWT dengan berpandukan al-Quran sebagai panduan dan pedoman. Ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud."Dan di antara mereka ada yang berkata: Wahai tuhan kami, berilah kebaikan kami di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari azab neraka." (Al-Baqarah:205)

2. Syumul

Firman Allah SWT yang bermaksud:"Dan kami turunkan kepadamu al-Quran menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi petunjuk serta rahmat dan khabar gembira bagi orang yang berserah diri."(An-Nahl:89). Berdasarkan ayat ini, jelas kepada kita kesyumulan al-Quran. Syumul yang dimaksudkan di sini ialah apa sahaja perkara yang membawa kebaikan dan kesejahteraan umat di dunia dan akhirat. segala perbuatan kita daripada sekecil-kecil perkara mempunyai prinsip dan jalannya yang tersendiri yang akan menjaga diri manusia itu sendiri daripada jatuh ke lembah kesesatan. Menurut pendapat al-Sayyid al-Wakil yang menyatakan bahawa Islam merupakan agama yang menyusun hubungan manusia dengan pencipta, menyusun hubungan manusia sesama manusia untuk melahirkan sebuah masyarakat yang dibina berdasarkan kasih sayang dan keadilan, disamping memerangi tingkatan kelas, pemusuhan dan mengatur hal ehwal berkaitan dengan ekonomi dan politik yang berdasarkan kemulian akhlak.

3. Praktikal

Ajaran yang terdapat dalam al-Quran adalah sesuai untuk dipraktikkan dalam kehidupan manusia. Islam tidak menyuruh manusia membuat sesuatu yang diluar kemampuan mereka. Firman Allah SWT yang bermaksud:"Allah tidak akan membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya."(Al-Baqarah:286)

KESIMPULAN

Al-Quran merupakan sumber utama Tamadun Islam. Sekiranya manusia berusaha untuk mentafsir, menganalisis dan menjalankan penyelidikan berkaitan ilmu yang terdapat dalam al-Quran sudah tentu tidak menemui titik penghujungnya. Semakin dikaji semakin banyak lagi ruang baru yang didedahkan oleh al-Quran sebagai sumber ilmu. Ini adalah berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud:"Katakanlah: Sekiranya lautan dijadikan tinta untuk (menulis) kalimah-kalimah Allah SWT, sungguh habislah lautan itu sebelum habis (ditulis) kalimah-kalimah Tuhanku, meskipun kami datangkan tambahan sebanyak itu (pula)."(Al-Kahfi:109)

Demikianlah sedikit perkongsian ilmu hasil dari catitan ringkas saya semasa Al-Fadhil Ustaz Jamnul Azhar menyampaikan ceramah beliau. Disamping catatan ringkas ini saya juga ada membuat rujukan dalam beberapa majalah dan buku yang saya baca antaranya
1. Quran Saintifik karangan Dr Danial Zainal Abidin
2. Majalah Cahaya Nov/Dis 2007 keluaran JAKIM
3. Buku Teks Pendidikan Islam Tingkatan 4 dan 5
Diharapkan ilmu ini dapat dikongsikan bersama...Wassalam

0 comments:

 

DEDAWAI BERISI Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template--