expr:dir='data:blog.languageDirection' xmlns='http://www.w3.org/1999/xhtml' xmlns:b='http://www.google.com/2005/gml/b' xmlns:data='http://www.google.com/2005/gml/data' xmlns:expr='http://www.google.com/2005/gml/expr'> DEDAWAI BERISI: Tokoh Saintis Islam

Wednesday, September 2, 2009

Tokoh Saintis Islam




Sejak mengadakan rombongan sambil belajar bersama kelas 5 PP 2006/2007 ke KLCC untuk menghadiri Pameran Kegemilangan Sains Dalam Tamadun Islam dalam bulan Januari tahun 2007 saya begitu teruja dan kagum sekali dengan ketokohan beberapa saintis Islam yang begitu hebat pada zaman kegemilangan tamadun Islam di Kota Al-Qurtubah (Cordova), Andalusia (Sepanyol). Mereka bukan sahaja mahir dalam bidang sains malah begitu hebat sekali dalam mentafsirkan ilmu-ilmu yang terdapat di dalam kitab yang maha agung iaitu Al-Quran.
Dalam tempoh seratus tahun pertama kemunculan mereka dalam sejarah (abad pertama hijrah), umat islam telah mula mengambil warisan ilmu yang terdapat dipersekitaran tamadun dan budaya yang lain tanpa perasaan takut dan teragak-agak selain rasa cinta akan ilmu serta dahaga akan pengetahuan. [Harus diingat pada ketika ini Eropah dan Barat masih lagi berada dalam zaman kegelapan]

Mereka telah menyempurnakan apa yang diambil oleh mereka ke tahap yang tinggi dan mewujudkan bidang-bidang sains yang baharu serta meletakkan batu asas bagi cabang-cabang ilmu yang lain.

Akan tetapi takdir yang menimpa mereka menyerupai takdir yang menimpa tamadun-tamadun besar yang lain. Mereka juga gagal melarikan diri daripada kehilangan kekuatan selepas berlakunya suatu tempoh. Keupayaan mereka menjadi rapuh dan lemah, sekali gus ia membuka ruang kepimpinan kepada pengganti selepas mereka. Demikianlah takdir mereka sejak menjejakkan kaki ke bumi Andalusia (92H/711M)
Tokoh pertama yang saya akan bawakan dalam catatan saya pada kali ini ialah tokoh perubatan dan perintis kepada pembedahan moden iaitu Al-Zahrawi

Al-Zahrawi (Tokoh Perubatan dan perintis pembedahan moden yang ulung)

Al-Zahrawi atau nama sebenarnya Abu al-Qasim Khalaf ibn al-Abbas dilahirkan di kota Zahra (suatu bandar berdekatan Al-Qurtubah) antara 936M hingga 940M semasa pemerintahan Khalifah Abdur Rahman III. Beliau mempelajari perubatan dan pembedahan di Kota Zahra sehingga hari kematiannya pada 1013M, dua tahun selepas kota tersebut ditawan oleh tentera salib

Dalam satu riwayat yang lama dikatakan Al-Zahrawi telah mengambil iktibar dari peristiwa tentang pembedahan 'dada-badan' Rasullulah sebagai persediaan untuk isra' dan mikraj menemui Allah SWT. Justeru menjadikan beliau sebagai seorang saintis, pakar perubatan dan pakar bedah terulung!

Dikalangan ahli perubatan Islam dan Eropah, beliau dikenali sebagai perintis ilmu pengenalan penyakit (diagnosis) dan cara penyembuhan penyakit telinga. Al-Zahrawi telah merintis pembedahan telinga untuk mengembalikan fungsi pendengaran dengan cara memerhatikan secara saksama anatomi saraf-saraf halus, pembuluh-pembuluh darah dan otot-otot. Selain itu, beliau turut mempelopori pengembangan ilmu bagi penyakit kulit.

Sumbangan beliau dalam bidang perubatan dapat difahami melalui kitab agungnya iaitu al-Tasrif atau nama sebenar buku ini ialah Kitab al-Tasrif Liman Ajiza an al-Talif. Ia mengandungi 30 bahagian yang dikumpul menjadikan satu buku yang merangkumi tajuk yang luas seta menyentuh pelbagai bidang perubatan. Satu salinan al-Tasrif dianggarkan berjumlah lebih kurang 750 folio ataupun 1500 mukasurat.



Dalam buku ini beliau menerangkan secara jelas diagram mengenai 200 peralatan pembedahan. Ilustrasi diagram tersebut memberi banyak gambaran tentang peralatan yang boleh digunakan untuk keperluan pembedahan pergigian.

Pada bahagian akhir buku karangannya yang mengandungi 30 bab itu, beliau menyatakan tentang luka dan cara pembedahannya, pengubatan tulang dan cara pembedahannya, pengubatan tulang yang remuk, penyakit gigi dan kaedah rawatannya, pembakaran luka dan pembersihan kotoran dalam rahim selepas bersalin.

Buku ini kemudiannya meletakkan dasar-dasar pengembangan kedoktoran pergigian di Eropah.

Malah beberapa bahagian yang penting dalam buku tersebut telah diadaptasi oleh seorang ahli bedah Perancis yang terkenal di Eropah, Guy de Chauliac. Dalam bukunya Great Surgery yang ditulis dalam bahasa Latin dalam tahun 1363M, Guy de Chauliac telah merujuk kepada al-Tasrif sebanyak 200 kali dan memasukkan beberapa perenggan petikan daripadanya.

al-Tasrif sememangnya sumbangan utama al-Zahrawi kerana dengan buku inilah beliau menjadi seorang tokoh perubatan yang terkemuka. Ketokohannya diakui bukan hanya dibanggakan di Sepanyol, Afrika Utara dan Kerajaan Islam Timur bahkan turut disebut di Eropah Barat.

Sebagai seorang pengamal perubatan, al-Zahrawi mengkaji penyakit dan pengelasan penyakit, diagnosis dan prognosis, mengakui kepentingan anatomi, temperamen, meteorologi dan membincangkan mengenai cara mengelakkan penyakit (profilaksis), meningkatkan kesihatan dan mengurangkan kesakitan. Beliau merupakan orang pertama yang mengenal pasti penyakit keturunan yang dikenal sebagai hemofilia.

Selaku pakar bedah beliau telah membincangkan tentang pembedahan dan membicarakan tentang alat yang beliau gunakan secara terperinci. Dalam masa yang sama, al-Zahrawi juga hebat sebagai seorang ahli farmasi, beliau telah memberi sumbangan yang banyak dalam bentuk atau dos ubat, teknik dan alat penyediaan ubat. Antara yang termahsyur ialah "Peralatan penyulingan air mawar"



Kaedah perbincangan al-Zahrawi sangat tersusun dan sistematik. Beliau telah menyarankan teknik pengurusan, pembasuhan dan pembakaran bahan logam seperti plumbum, kuprum, arsenik dan juga garam atau sebatian yang dibuat daripada bahan tersebut supaya dapat dikendalikan dengan selamat.

Dalam pada itu beliau juga mengajar cara pengekstrakan, pengumpulan, penapisan dan pengawetan bendalir daripada bahan berkenaan dalam kaedah rawatanya selain memperkenalkan pengurusan ubat-ubatan daripada sumber haiwan seperti pembakaran kulit kerang, kepah dan tanduk, pengolahan kulit haiwan serta pengeringan hempedu untuk rawatan mata.

Begitu besar sekali jasa al-Zahrawi dalam dunia perubatan dan tamadun Islam khasnya. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya

Bahan-bahan rujukan:

1. http://ms.wikipedia.org/wiki/Abu_Al-Qasim_Al-Zahrawi
2. Quran Saintifik, Dr Danial Zainal Abidin, PTS Millennia (2009)
3. Dewan Kosmik, November 2005, m/s 22-23
4. Cendiakawan Islam, Perintis peradaban manusia, Samsu Adabi Mamat dan Wan Ramli Wan Muhammad, Utusan Publication & Distributors Sdn Bhd (2002)
5. Estidotmy, 27 November 2006, m/s 28
6. Scientific Excellence in Islamic Civilisation, Islamic Science Ahead of Its Time, Fuat Sezgin,MOSTI (2006)

0 comments:

 

DEDAWAI BERISI Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template--